KARANGAN SPM KARANGAN BERDASARKAN BAHAN RANGSANGAN
Soalan: Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk dilakukan untuk melahirkan masyarakat yang harmoni.Panjangnya huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
USAHA-USAHA UNTUK MELAHIRKAN MASYARAKAT HARMONI
»Menjalinkan persahabatan tanpa memilih kaum.
»Belajar di bawah satu bumbung.
»Mengadakan Majlis Rumah Terbuka.
Contoh jawapan tahap sederhana/baik:
Malaysia merupakan sebuah negara yang aman kerana perpaduan yang erat dalam kalangan rakyatnya yang pelbagai kaum.Antara kaum yang terdapat di Malaysia adalah kaum Melayu,Cina dan India. Namun,masih ada segelintir masyarakat yang mencuba menggugat keharmonian masyarakat. Jadi,apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk mengekalkan keharmonian dalam kalangan masyarakat?.
Usaha-usaha untuk melahirkan masyarakat harmoni adalah menjalinkan persahabatan tanpa memilih kaum.Perpaduan hendaklah dijadikan panduan di semua sekolah dalam menjalankan aktiviti kokurikulum yang bertujuan memupuk persefahaman antara kaum.Pemikiran murid-murid tidak dicemari oleh isu-isu perkauman. Oleh itu, mereka mampu bergaul dan bermain antara satu sama lain tanpa mengira bangsa. Ibu bapa yang dibesarkan dalam suasana kepelbagaian kaum sewajarnya menggalakkan anak mereka bergaul dengan kaum yang lain. Oleh yang demikian itu,anak-anak akan sedar betapa pentingnya keharmonian antara kaum dan agama.Sudah terang lagi bersuluh,cara menjalinkan persahabatan tanpa memilih kaum dapat melahirkan masyarakat yang harmoni.
Selain itu,usaha-usaha untuk melahirkan masyarakat harmoni adalah belajar di bawah satu bumbung.Kerajaan perlu memperbanyakkan lagi sekolah kebangsaan sama ada sekolah menengah atau sekolah rendah di kawasan majoriti penduduknya yang berbilang kaum. Murid-murid akan berkomunikasi menggunakan bahasa pengantar yang sama iaitu Bahasa Melayu yang boleh difahami oleh semua kaum. Hal ini akan memupuk semangat perpaduan dan keharmonian antara kaum kerana tiada perasaan syak wasangka. Oleh itu,cara belajar di bawah satu bumbung dapat melahirkan masyarakat harmoni.
Akhir sekali, usaha untuk melahirkan masyarakat harmoni adalah mengadakan Majlis Rumah Terbuka.Majlis ini diadakan ketika sambutan hari perayaan kaum oleh pihak kerajaan atau ahli Parlimen. Antara perayaan yang disambut di Malaysia adalah Hari Raya Aidilfitri,Tahun Baru Cina,Deepavali dan sebagainya. Kaum-kaum lain dijemput hadir bagi memeriahkan lagi suasana Majlis Rumah Terbuka. Masyarakat dapat menikmati pelbagai juadah tradisional yang disediakan. Tambahan lagi,masyarakat dapat duduk semeja dan bertegur sapa yang membolehkan hubungan sesama kaum semakin akrab. Hal ini membolehkan masyarakat dapat memahami adat resam dan budaya antara kaum di Malaysia serta dapat menambah lagi keharmonian antara kaum. Oleh hal yang demikian, mengadakan Majlis Rumah Terbuka dapat melahirkan masyarakat harmoni.
Kesimpulannya,keharmonian dan keamanan sudah menjadi intipati demi kehidupan bebas dan selamat dalam negara Malaysia. Setiap rakyat hendaklah menyedari bahawa mereka dituntut melakukan usaha untuk mewujudkan keharmonian. Sementara itu, anasir luar yang cuba mengambil kesempatan dengan ''menangguk di air keruh'' bagi menimbulkan sebarang kekacauan perlulah diambil tindakan oleh pihak berkuasa dengan setegas-tegasnya. Ibu bapa juga perlulah menjadi model kepada anak-anak dengan menunjukkan hubungan yang baik dengan jiran tetangga.Dengan ini,perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat dapat dikekalkan sehingga ke generasi akan datang.
No comments:
Post a Comment